Industri akhbar terus malap - Utusan Malaysia

Industri akhbar terus malap

Edisi terakhir akhbar The Malaysian Reserve pada Jumaat lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KELMARIN (Jumaat) adalah keluaran terakhir akhbar bisnes harian, The Malaysian Reserve (TMR). Kewujudannya sejak 2007 tidak mampu dipertahankan selepas 15 tahun menyumbang kepada kepelbagaian industri persuratkhabaran negara.
Penutupan TMR ini memberi gambaran bahawa industri media di negara ini terutama percetakan akhbar terus malap. Nampaknya langsung tidak ada cahaya di hujung terowong untuk menyuluh perjalanan masa depan industri ini yang sarat dengan tekanan dan ketidakpastian.
Menutup sebuah akhbar adalah satu keputusan yang berat. Namun atas pertimbangan komersial dan untuk membolehkan ia disusun semula maka keputusan itu perlu diambil.
Cuma dalam kes TMR ia lebih bernasib kerana tidak membabitkan pemberhentian pekerja. Ini berbeza dengan nasib yang menimpa akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! pada 2019, di mana kakitangan hanya diberi notis beberapa jam sahaja untuk mengosongkan pejabat apabila syarikat Utusan Melayu (M) Berhad terpaksa digulung kerana masalah kewangan yang kritikal.
Ketika itu kira-kira 700 pekerjanya hilang kerja sekelip mata. Ibarat kata pepatah berat mata memandang, lagi berat bahu yang memikul.
Secara keseluruhannya, industri akhbar di seluruh dunia berhadapan dengan kemerosotan. Ini terutama kesan kemunculan dunia digital terutama kewujudan media sosial di mana orang ramai hanya membaca berita yang sampai di hujung jari mereka.
Pembaca yang semakin kurang menyumbang kepada kejatuhan jumlah edaran seterusnya mengurangkan pendapatan iklan. Ini diburukkan lagi dengan hasil iklan yang telah berpindah ke platform digital.
Walaupun penurunan edarannya telah berterusan selama beberapa tahun lalu, pandemik Covid-19 yang membawa kepada kelembapan ekonomi memberi kesan kepada secara langsung kepada operasi akhbar bukan sahaja di negara ini, tetapi juga di seluruh dunia,
Berdasarkan kajian daripada Pusat Penyelidikan Pew dalam laporan tahunan State of the News mereka menunjukkan industri akhbar di Amerika Syarikat (AS) dalam trend yang menurun. Pada 2020, edaran akhbar harian ialah 24.3 juta dan untuk akhbar Ahad adalah 25.8 juta. Sedangkan pada tahun 1990, edaran akhbar harian ialah 63.2 juta dan untuk Ahad adalah 62.6 juta. Tetapi adakah ini menandakan bahawa satu hari nanti surat khabar akan pupus dari muka bumi ini terutama di bumi Malaysia?
Sama seperti apa yang berlaku di bahagian lain di dunia, industri akhbar di Malaysia tidak terlepas daripada terkena tempias dan cabaran dunia digital.
Selain edaran yang kurang ia di burukkan lagi dengan harga kertas cetak yang tinggi serta hasil pengiklanan yang terus merudum. Pandemik Covid-19 menambah satu lagi tamparan hebat kepada persekitaran perniagaan yang sedia sukar.
“Kandungan dan pen­cip­taan berita, seperti pe­nge­luaran mana-mana produk, adalah perniagaan yang memerlukan hasil yang besar. Walaupun peningkatan dalam bilangan pembaca digital, paparan halaman dan pelawat unik, hasil iklan untuk platform digital adalah diabaikan.
“Syarikat besar di Malaysia menyalurkan sebahagian besar daripada perbelanjaan pengiklanan dan promosi mereka pada enjin carian teknologi AS, media sosial, saluran video dan perkhidmatan berkaitan.
“Mereka lebih menyo­kong gergasi teknologi ini daripada organisasi media tempatan yang sah yang telah menyumbang kepada kejayaan perniagaan mereka,” demikian kata Pengarah Urusan TMR Media, Mohamad Azlan Jaafar dalam nota makluman berhubung pemberhentian operasi akhbar itu.
Di negara ini ia diburukkan lagi oleh dasar kerajaan yang tidak mesra dengan industri surat khabar di mana ketika ia semakin tenat, cukai yang dikenakan ke atas kertas cetak masih lagi tinggi.
Malah kerajaan di rantau ini termasuk Malaysia masih lagi tidak mengambil kisah akan usaha untuk mengenakan cukai ke atas gergasi-gergasi teknologi dunia terutama dari AS yang mengaut berbilion ringgit setahun daripada pengiklanan digital di negara ini. Sedangkan semua gergasi teknologi terutama yang pemilik platform media sosial menggunakan kandungan yang dihasilkan oleh media tempatan untuk menarik pengunjung ke platform mereka.
Ketika kerajaan Malaysia mengabaikan aliran keluar berbilion ringgit oleh gergasi-gergasi digital dan teknologi itu, syarikat media tempatan yang berhempas pulas untuk hidup dan dengan pendapatan hanya puluhan juta setahun terpaksa berkongsi pula dengan kerajaan dalam pelbagai bentuk cukai.
Sebab itu kerajaan di Eropah dan Australia sekarang melaksanakan undang-undang yang memaksa firma teknologi terbabit berkongsi peratusan hasil iklan mereka yang dijana dari rantau itu dengan penyedia kandungan yang sah dan organisasi berita.
Undang-undang sedemikian akan dapat melindungi industri berita dan media Eropah dan peraturan itu juga memastikan kebebasan media mereka.
Di Malaysia kerajaan masih mengambil pendekatan tunggu dan lihat walaupun idea mengenainya sudah dibangkit dan diketengahkan.
Ini bukan bermakna kerajaan perlu berbelanja untuk menyelamatkan industri surat khabar tempatan, sebaliknya hanya menggubal polisi yang lebih adil untuk syarikat media tempatan supaya mereka dapat bersaing dengan gergasi-gergasi global itu yang menyedut pendapatan iklan dari negara ini sewenang-wenang tanpa perlu membayar apa-apa cukai.
Sedangkan, setiap sen daripada pendapatan iklan yang dijana oleh syarikat media tempatan akan dikenakan cukai. Ini kelihatan tidak adil. Kerajaan boleh semak berapa banyak kos iklan yang dibelanjakan oleh syarikat-syarikat di negara ini terutama syarikat yang berkaitan dengan kerajaan (GLC) di platform-platform digital terbabit? Adakah pendapat yang dijana oleh gergasi-gergasi teknologi global itu dari negara ini dikenakan cukai?
Jika kerajaan tidak mahu ‘mengganggu’ pendapatan dikaut oleh konglomerat digital antarabangsa itu, sekurang-kurangnya berilah pelepasan cukai kepada syarikat media tempatan. Paling tidak pun mansuhkan cukai import kertas cetak supaya dapat mengurangkan kos mencetak akhbar. Lagi pula ketika edaran akhbar semakin merosot pendapat kerajaan daripada cukai tersebut tidaklah banyak mana.
Walaupun berada dalam keadaan sukar dan tanpa sokongan, setakat ini dengan sedikit penyesuaian yang dilakukan, industri akhbar terutama yang berbahasa Melayui masih mampu terus bertahan. Cuma andai kata dibantu sedikit oleh dasar kerajaan maka ia akan memudahkan lagi perjalanan industri ini.
Kalau tidak boleh bantu dengan wang ringgit, bantu melalui dasar-dasar yang mesra kepada industri persuratkhabaran ini sudah memadai.

Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia .

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya